ad
AGENDA

MB: Buang curiga, hormat, kekal keharmonian rakyat berbilang kaum

25 Mac 2025, 3:56 PM
MB: Buang curiga, hormat, kekal keharmonian rakyat berbilang kaum

SHAH ALAM, 25 MAC: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk mengekalkan sikap saling hormat-menghormati dan membuang kecurigaan antara satu sama lain.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor ibarat ‘melting pot’ (periuk lebur) yang mempunyai pelbagai jenis masyarakat dan budaya di dalamnya sekali gus menuntut toleransi antara semua.

“Saya harap Selangor kekal ‘vibrant’ ataupun getarannya sebagai pemacu ekonomi nasional. Selangor boleh menjadi contoh model kepelbagaian yang menghormati antara satu sama lain.

“Kalau kita lihat, tiga tempat yang menjadi tumpuan pelancong di Selangor adalah tiga tapak rumah ibadat. Pertama Batu Caves dengan kehadiran sejuta orang setiap tahun, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan tokong Fo Guang Shan Dong Zen di Sijangkang.

“Maknanya itu jadi tarikan orang yang datang ke Selangor, (keharmonian) itu harus dikekalkan. Hormat-menghormati dan membuang kecurigaan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Dialog TVS: Menuju Selangor 2030, Apa Strategi MB’ yang disiarkan malam ini.

Menurut Amirudin, berbanding soal pembangunan dan memacu kerancakan ekonomi, mengekalkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum menjadi antara cabaran besar di Selangor.

“Ia lebih kepada budaya, sikap dan bagaimana kita konsisten melestarikan keharmonian ini sepertimana konsistennya kita (mengecapi) pembangunan negeri,” katanya.

Selangor memperkenal Gagasan Rumpun Selangor untuk menyemarak semangat perpaduan nasional di negeri ini.

Rumpun Selangor adalah terjemahan demografi negeri merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada penduduk asal dan Orang Asli sehinggalah kepada perantau dari seluruh negara yang bekerja, bermastautin dan menjadi rakyat Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.