ad
AGENDA

Banjir di Johor, Sabah beransur pulih, seramai 1,991 mangsa berlindung di PPS

25 Mac 2025, 1:35 AM
Banjir di Johor, Sabah beransur pulih, seramai 1,991 mangsa berlindung di PPS

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Seramai 1,991 mangsa banjir masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah, berbanding 2,593 orang yang direkodkan malam tadi.

Di JOHOR, situasi banjir di negeri itu semakin baik dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 1,853 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,455 semalam dan semuanya ditempatkan di 20 PPS di lima daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 680 orang, diikuti Batu Pahat (621), Pontian (410), Kluang (74) dan Kota Tinggi pula 68 orang.

“Dua PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Kluang, Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang ditutup malam tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir mulai surut dan keadaan di kawasan kediaman selamat," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung pada pagi ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir kekal 138 orang daripada 41 keluarga di Beaufort dan ditempatkan di PPS Dewan Selangon, pagi ini.

Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan lapan kampung terjejas banjir di Beaufort.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.