KLANG, 25 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang merekodkan kutipan premium tanah dan permit sebanyak RM119.7 juta setakat 28 Februari lalu, sekali gus melebihi 41 peratus sasaran ditetapkan negeri tahun ini.
Pegawai Daerah Klang Amri Ismail berkata daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM1.8 juta diperuntukan tahun ini bagi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan termasuk bantuan keusahawanan.
“Tidak ketinggalan juga projek berskala besar yang sedang dilaksanakan. Pada masa ini terdapat beberapa projek pembangunan yang dipantau secara berkala oleh Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Klang (JTPD).
“Pada awal tahun ni juga, PDT Klang dalam tindakan memproses lantikan bagi lapan projek Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) dengan kos RM1.5 juta yang diijangka bermula Mei depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan perasmian Masjid Bandar Bukit Raja di sini, semalam.
Dalam pada itu, Amri menambah projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang membersihkan Sungai Klang kini mencapai kemajuan sebanyak 37.58 peratus setakat 31 Januari lalu.
Jelasnya, kerja-kerja tersebut sedang dilaksanakan di Zon 6 iaitu di Kampung Sungai Kandis ke Alam Impian) dan Zon 8 (Kota Kemuning ke Kampung Lombong) yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
“Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti, tetapi juga tahap kualiti dan kuantiti air sungai selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air mampan,” katanya.
Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek SMG sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.
Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.