ad
AGENDA

Penyanyi 'Bey Sobar Bey' raya dalam penjara sebelum dibebaskan

23 Mac 2025, 7:15 AM
Penyanyi 'Bey Sobar Bey' raya dalam penjara sebelum dibebaskan

SHAH ALAM, 23 MAC: Penyanyi dikir barat Malaysia Eda Ezrin yang dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 pil kuda awal bulan ini, bakal dilepaskan selepas Aidilfitri.

Menurut ibu saudaranya Wan Roshayati Wan Yusof, penyanyi itu bersama lima lagi individu termasuk suaminya akan menyambut Syawal dalam Penjara Narathiwat, lapor Berita Harian.

"Zaharah (ibu Eda Ezrin) baru-baru ini melawatnya dan memberitahu saya Eda tidak akan meraikan raya bersama keluarga. Dia, suaminya dan empat yang lain hanya akan dibebaskan selepas raya.

"Ibunya memberitahu saya dia sedih anak sulungnya tidak dapat bersama mereka untuk menyambut hari raya, tetapi dia menerimanya dengan hati terbuka," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Wan Roshayati berkata Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail turut memberitahu ibunya dia akan meneruskan kerjaya nyanyian setelah dibebaskan.

Pada 14 Januari, Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia termasuk suaminya didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Pada 6 Mac, kesemuanya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba selepas mahkamah mendapati tiada bukti yang boleh mengaitkan sejumlah dadah berkenaan dengan tertuduh.

Malah, hakim berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tidak menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa oleh mereka.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.