ad
AGENDA

Rafizi pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR, elak pergolakan dalam parti

20 Mac 2025, 9:05 AM
Rafizi pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR, elak pergolakan dalam parti

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bakal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang berlangsung 24 Mei depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak pergolakan dalaman parti yang boleh memberi kesan negatif kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Jika orang seperti saya berkata saya tidak berminat, saya mahu lakukan perkara lain, ia akan menimbulkan terlalu banyak drama dalam kerajaan pada saat kita benar-benar perlu bertahan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Jadi, sama ada bernasib baik atau tidak, saya perlu bertahan dan akan tetap bertanding," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Negara (OGSE) 2021-2030 hari ini.

Rafizi menyandang jawatan itu sejak pemilihan PKR 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau pernah bertanding merebut jawatan itu pada 2018 tetapi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata fokus utama PKR dalam pemilihan kali ini adalah memastikan proses demokrasi berjalan secara matang dan sihat serta meneruskan komitmen terhadap tugas dalam kerajaan.

"Saya tidak fikir rakyat mahu melihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik. Kita harus fokus pada kemungkinan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.