ad
AGENDA

Indonesia sedia 404 pesawat, 1.2 juta perantau dijangka pulang beraya

20 Mac 2025, 1:33 AM
Indonesia sedia 404 pesawat, 1.2 juta perantau dijangka pulang beraya

JAKARTA, 20 MAC: Indonesia menyediakan 404 pesawat bagi menyokong perjalanan pulang Aidilfitri 2025, menurut kenyataan daripada Direktorat Jeneral Penerbangan Awam di bawah Kementerian Pengangkutan pada Rabu, lapor Xinhua.

"Berdasarkan unjuran kami, sebanyak 325 pesawat diperlukan untuk perjalanan pulang Aidilfitri 2025. Dengan 404 pesawat yang sudah tersedia dan beroperasi, perkhidmatan penerbangan tetap kami septutnya dapat menampung peningkatan jumlah penumpang secara optimum," kata Pemangku Ketua Direktorat Jenderal Perhubungan Udara, Lukman F. Laisa.

Jumlah penumpang penerbangan semasa musim perayaan Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat 12 peratus kepada 6,186,298, berbanding 5,529,659 tahun lepas.

Penumpang penerbangan domestik dianggarkan mencecah 4,951,391, manakala penumpang antarabangsa dijangka mencapai 1,234,907 orang. Sepanjang musim perayaan ini, pihak direktorat akan meningkatkan pemantauan di 60 lapangan terbang bagi memastikan keselamatan penerbangan serta bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca buruk.

Tempoh puncak bagi pelepasan penumpang dijangka pada 28 Mac, manakala tempoh puncak kepulangan dijangka pada 6 April.

-- BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.