ad
AGENDA

Lebih 130 penduduk terbunuh selepas Israel lancar serangan udara di Gaza

18 Mac 2025, 5:20 AM
Lebih 130 penduduk terbunuh selepas Israel lancar serangan udara di Gaza

GAZA, 18 MAC: Tentera Israel kembali melancarkan serangan udara di Gaza selepas dua bulan mengorbankan sekurang-kurangnya 131 penduduk Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Serangan berterusan itu turut menyebabkan ramai cedera, sementara ramai lagi masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Sumber kesihatan tempatan melaporkan bahawa kebanyakan mangsa yang terbunuh di selatan Gaza, dengan angka mencecah hampir 60 orang.

Di kawasan Mawasi Khan Younis, lima orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh apabila khemah mereka diserang.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Medan Kuwait untuk menerima rawatan.

Di Bandar Gaza, lebih 15 orang, termasuk lima kanak-kanak terbunuh manakala lebih 20 lagi cedera.

Di hospital Al-Awda, Nuseirat, serangan di kem pelarian Nuseirat dan Al-Bureij menyebabkan sekurang-kurangnya 14 kematian, termasuk kanak-kanak, serta lebih 70 cedera.

Di utara Gaza, lapan orang termasuk enam kanak-kanak maut dalam serangan di kem pelarian Jabalia.

Selain itu, serangan udara Israel turut menyasarkan dua rumah di Abasan al-Kabira, timur Khan Younis, serta khemah-khemah di kawasan Muwasi.

Lebih ramai mangsa dilaporkan terbunuh apabila Israel mengebom sebuah sekolah yang menempatkan pelarian di kejiranan Al-Daraj, Gaza.

Tiga rumah di Tal al-Hawa serta beberapa rumah di kem pelarian Al-Bureij dan Nuseirat turut musnah akibat serangan.

Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi serangan akibat pengeboman berterusan oleh tentera Israel.

Serangan kali ini menandakan perang genosid Israel di Gaza disambung semula, yang sebelum ini dihentikan selama dua bulan susulan perjanjian gencatan senjata rapuh.

Situasi ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza, dengan sekatan berterusan Israel yang menyukarkan bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan.

- BERNAMA-WAFA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.