SHAH ALAM, 18 MAC: Pemilihan Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC) sebagai lokasi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 hampir dimuktamad, kata EXCO Sukan.
Mohd Najwan Halimi berkata, ketika ini lokasi Petronas SIC bagi acara perasmian SUKMA tahun depan berada di peringkat 80 peratus pengesahan dengan perbincangan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
“Setakat ini memang kita hampir 80 peratus sudah boleh sahkan Petronas SIC sebagai lokasi perasmian dan sekretariat juga sedang dalam perbincangan, dan mereka akan selaraskan dari segi kos dan sebagainya.
[caption id="attachment_692023" align="alignleft" width="500"] EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi menyampaikan ucapan pada majlis iftar bersama belia Selangor di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Saya boleh katakan, Petronas SIC sebagai lokasi pembukaan. Bagi pilihan kedua (jika ditolak), Stadium MBPJ adalah pilhan tetapi Petronas SIC sendiri sudah menunjukkan minat,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Iftar bersama Belia Selangor di Petals Event Space di sini, malam tadi. Hadir sama Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi
Dalam pada itu, Mohd Najwan menjelaskan lokasi bagi acara penutup SUKMA masih belum diputuskan namun dijangka diadakan di stadium tertutup.
Jelasnya, majlis penutup tidak diadakan di Petronas SIC berikutan mengambil kira kehadiran pengunjung dan atlet yang tidak ramai selain hanya meraikan kontinjen yang cemerlang.
[caption id="attachment_692024" align="aligncenter" width="1144"] EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (tiga kiri) menyampaikan cek cura bernilai RM10,000 kepada Presiden Permas Nasional Muhammad Alif Aiman Norazlan (tiga kanan) pada majlis iftar bersama belia Selangor 2025 di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Biasanya pada majlis penutup ramai atlet sudah balik dan ia untuk meraikan kontinjen yang cemerlang serta majlis anugerah atlet. Jadi kita akan kecilkan lokasi,” katanya.
Januari lalu, Jawatankuasa Pengurusan SUKMA 2026 mengumumkan mempertimbang litar Petronas SIC sebagai lokasi bagi upacara pembukaan sukan dwi tahunan itu.
Dibina pada Februari 1998, litar itu pernah menjadi tuan rumah untuk beberapa acara sukan utama seperti Grand Prix F1, MotoGP, Super GT, Asian Le Mans Series, dan Kejohanan Superbike Dunia.
Selangor kali terakhir menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998, di mana negeri itu muncul juara keseluruhan.
[caption id="attachment_468016" align="aligncenter" width="825"] Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC). Foto Facebook Sepang Circuit[/caption]