OLEH MUHAMMAD REY HAZRIELL
SABAK BERNAM, 17 MAC: Rata-rata penduduk di sini berharap lebih banyak program seumpama Kembara Sabda termasuk Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan lebih kerap pada masa depan.
Kakitangan kerajaan Syawaluddin Aspani, 42, berkata program sedemikian perlu supaya lebih banyak kegiatan ekonomi berlangsung di situ seterusnya membantu penduduk setempat.
"Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi kerana kawasan ini mempunyai potensi besar menarik perhatian orang luar untuk kunjungi," katanya ditemui di Jalan Kampung Parit Tiga Sungai Haji Dorani Sungai Besar, Selangor.
Dalam Kembara Sabda yang pertama kali diadakan, JER paling mendapat sambutan, malah penduduk beratur seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan barang keperluan pada harga murah.
Selain JER, acara Rewang Bubur Lambuk juga mendapat perhatian dan menyaksikan orang ramai bergotong-royong menyediakan serta mengagihkan juadah tradisional itu kepada pengunjung.
Kembara Sabda hasil inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) bertujuan mendekati masyarakat setempat. SABDA adalah projek pembangunan zon ekonomi utama di utara Selangor.
Menurut Rancangan Selangor Pertama, SABDA dijangka menjana pelaburan kira-kira RM1.9 bilion dan mencipta pekerjaan kepada 3,600 penduduk setempat.
Penjawat awam Fitri Hakim, 35, pula mulanya hanya tertarik untuk mengunjungi JER apabila mengetahui program tersebut melalui media sosial sebaliknya turut sama menyertai acara lain.
"Awalnya hanya datang untuk membeli barang dengan harga murah tetapi terdapat juga Rewang Bubur Lambuk yang menarik perhatian saya untuk membantu menyediakan bubur tersebut.
"Program ini perlu diadakan lagi kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan antara orang kampung," katanya.
[caption id="attachment_691923" align="aligncenter" width="1018"]
Pengunjung membeli barangan keperluan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Kampung Parit Tiga Sungai Haji Dorani Sungai Besar Selangor pada 16 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]


