AGENDA

MB lawat gerai air bekas pemain bola sepak Selangor, doa Gopi murah rezeki

17 Mac 2025, 6:40 AM
MB lawat gerai air bekas pemain bola sepak Selangor, doa Gopi murah rezeki

SHAH ALAM, 17 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa melawat gerai milik bekas pemain bola sepak Selangor, Mohammad Gopi Rizqi di Pontian, Johor, semalam.

Amirudin menerusi Facebook memaklumkan, kunjungan ke gerai air balang Mohammad Gopi di Kampung Api-Api ditemani setiausaha politiknya, Saifuddin Shafi Muhammad.

“Gopi merupakan salah seorang pemain skuad Selangor ketika saya menjadi pengurus pada 2016. Beliau merupakan seorang pemain sayap yang lincah dan cekap.

“Saya mendoakan saudara Gopi sekeluarga dimurahkan rezeki dan dirahmati serta dilindungi Allah SWT,” tulisnya di hantaran Facebook Amirudin Shari.

Untuk rekod, Amirudin merupakan bekas pengurus bola sepak Selangor FA (2014-2016) dan berjaya membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia yang disifatkan sebagai Misi33 pada 2015.

Terdahulu, Mohammad Gopi meraih perhatian di media sosial apabila usahanya menyara kehidupan keluarga dengan berniaga air balang sempena Ramadan menarik perhatian ramai.

Mohammad Gopi, 36, yang berasal dari Kuantan Pahang pernah bermain bersama Pahang dari 2010 hingga 2015, diikuti Selangor 2016, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2017-2018, Melaka United 2018, Polis Di raja Malaysia (PDRM) 2019 dan Pahang 2020.

Ketika bersama Pahang selama tujuh musim, Mohammad Gopi atau nama asalnya, R Gopinathan, pernah merangkul dua kali Piala Malaysia dan satu gelaran Piala FA.

Beliau juga pernah menyarung jersi kebangsaan pada 2012 hingga 2015.