SHAH ALAM, 13 MAC: Stesen jana kuasa pertama negeri, Pulau Indah Power Plant (PIPP) yang memulakan operasi komersialnya awal bulan ini dijangka menjana RM1.6 bilion keuntungan tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata projek kendalian Worldwide Holdings Berhad (WHB) itu juga bakal menjadi peneraju industri tenaga sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
“Tepat jam 12 tengah malam pada 1 Mac 2025, PIPP secara rasmi memasuki fasa operasi komersial. Ini merupakan kejayaan besar WHB dan seluruh pasukan PIPP, hasil kerja keras dan dedikasi semua pihak.
“Dengan pencapaian ini, PIPP kini bersedia menerajui masa depan tenaga yang lebih mampan. Semoga kejayaan ini membawa lebih banyak manfaat untuk negeri dan rakyat,” katanya di Facebook.
Bulan lalu, Amirudin berkata PIPP yang dibina sejak 2021 membekalkan 1,200 megawatt tenaga merupakan antara usaha negeri meneroka teknologi hijau dalam pembangunan industri tenaga.
Menggunakan turbin gas kitaran gabungan berkuasa gas asli, stesen jana kuasa yang dibina dengan kos RM3.3 bilion akan menyokong keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Lembah Klang.
Dilaksanakan dengan kerjasama Korea Electric Power Corporation, tenaga karbon rendah yang dihasilkan stesen jana kuasa itu juga akan disalurkan ke Klang, Sepang dan Kuala Langat
Sebelum ini, WHB yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri juga memiliki pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus untuk loji jana kuasa Kuala Langat.


