AGENSI

NUJM kumpul sumbangan wang tunai, ringan beban anak bekas kakitangan Utusan Malaysia

13 Mac 2025, 6:37 AM
NUJM kumpul sumbangan wang tunai, ringan beban anak bekas kakitangan Utusan Malaysia

SHAH ALAM, 13 MAC: Tiga beradik yang juga anak bekas kakitangan Utusan Malaysia menerima bantuan wang tunai RM7,030, hasil kutipan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM).

Presiden NUJM Low Boon Tat berkata sumbangan yang dikumpul daripada pengamal serta kesatuan media tempatan diharap membantu meringankan beban anak-anak Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar dan Allahyarhamah Nor Azlina Jaafar.

“Allahyarham Muhammad Basir dan isterinya Allahyarhamah Nor Azlina adalah rakan seperjuangan dalam NUJM yang banyak berkhidmat untuk rakan media.

“Oleh itu, kami mengambil kesempatan ini untuk membantu keluarga arwah dengan mengadakan kutipan dana serta-merta dan berjaya mengutip sejumlah RM7,030,” katanya menerusi kenyataan.

Boon Tat turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang antaranya The Star Group, NSTP Bhd, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily dan usahawan 9Kopitiam Dato' Khon Sze Hooi.

Sumbangan itu diterima oleh tiga anak mereka berusia linkungan 10 hingga 15 tahun iaitu Nor Iman Izara, Nor Iman Damia dan Mohammad Danieal Iman.

Muhammad Basir meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada 15 Februari lalu akibat komplikasi jantung manakala isterinya yang juga bekas jurufoto Utusan Malaysia meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.