SHAH ALAM, 12 MAC: Kerajaan Selangor mempelawa syarikat yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi pelaksanaan Projek Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) yang dibuka mulai hari ini hingga 7 April depan.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan bahawa sesi taklimat RFP DRT akan berlangsung pada Jumaat ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang MBI Selangor di www.mbiselangor.com.
“Tarikh tutup penghantaran RFP adalah sebelum 12 tengah hari, 7 April 2025,” menurut kenyataan MBI Selangor hari ini.
MBI turut memaklumkan perkhidmatan DRT sedia ada dijangka mengalami sedikit gangguan memandangkan insentif kepada operator sedia ada telah dihentikan sehingga pelantikan operator secara rasmi dibuat dalam tempoh pelaksanaan RFP.
“Pelaksanaan penuh DRT dijangka bermula pada Mei 2025. Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk menyemak sebarang perubahan atau gangguan perkhidmatan melalui aplikasi perkhidmatan DRT sedia ada bagi mengurus rancangan perjalanan mereka,” menurut kenyataan itu.
Menurut MBI, Kerajaan Selangor sebelum ini telah melaksanakan projek rintis DRT dari 21 November 2023 hingga 31 Julai 2024 di lapan zon dalam beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
“Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan DRT telah mencatatkan jumlah penggunaan (ridership) seramai 73,389 orang, sekali gus mencapai sasaran utama dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perkhidmatan ini.
“Projek ini dijangka dapat memenuhi permintaan penduduk dan pelawat di Selangor dalam merealisasikan perjalanan yang lebih cekap dan fleksibel pada harga berpatutan,” menurut kenyataan itu.
DRT merujuk kepada sistem pengangkutan yang menyesuaikan laluan dan jadual berdasarkan permintaan penumpang, di samping menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih fleksibel dan cekap, terutama bagi penyambungan perjalanan first mile dan last mile.
Pada 10 Okt 2023, media melaporkan bahawa kerajaan Selangor akan memperkenalkan sistem DRT bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa akan datang.
Menurut EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri, Ng Sze Han, sistem DRT mengutamakan pengangkutan penumpang bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti rel dan bas.
- BERNAMA