SHAH ALAM, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat sehingga 5 petang.
Keadaan sama dijangka berlaku di Kuala Lumpur, seluruh Pulau Pinang dan Johor selain beberapa daerah di Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Menurut agensi itu di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


