ad
EXCO

Selangor perketat kawalan keluar masuk khinzir, elak wabak merebak

11 Mac 2025, 8:00 AM
Selangor perketat kawalan keluar masuk khinzir, elak wabak merebak
Selangor perketat kawalan keluar masuk khinzir, elak wabak merebak

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor memperketat kawalan dan penguatkuasaan khinzir bagi mengekang penularan penyakit demam khinzir Afrika (ASF) keluar dari Selangor.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pemindahan khinzir hanya dibenarkan di dalam Selangor dan urusan penyembelihan hanya dilakukan di rumah penyembelihan dilesenkan.

[caption id="attachment_685663" align="aligncenter" width="770"] EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri di Shah Alam pada 6 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Selain itu, bagi mengelakkan berlakunya pemindahan tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang, JPV Selangor telah menetapkan laluan pergerakan kenderaan pengangkut khinzir ke rumah penyembelihan dilesenkan.

“Sekiranya kenderaan pengangkut ini dikesan tidak berada di laluan yang ditetapkan semasa pemindahan, maka individu yang memindahkannya telah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

“JPV Selangor turut memperhebat kawalan pemindahan khinzir atau karkas khususnya keluar dari Selangor. Hasilnya, enam daripada 37 kenderaan pengangkut yang diperiksa menerusi Ops ASF disita,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, perintah di bawah Seksyen 19, Akta Binatang 1953 dikeluarkan kepada pemilik ladang ternakan menuntut mereka perlu melupuskan semua khinzir yang dijangkiti.

Terdahulu, Izham memaklumkan 76,000 khinzir yang dijangkiti penyakit ASF akan dilupuskan sebelum akhir bulan ini.

Sebelum ini, dalam sidang media khas, Izham memaklumkan tiga ladang khinzir di negeri ini disita selepas haiwan itu dijangkiti wabak ASF selepas menerima aduan pada 22 Januari lalu.

Katanya, ladang berkenaan membabitkan dua di Sungai Blankan, Sepang dan satu di Kampung Tumbuk, Kuala Langat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.