ad
AGENDA

Kedai runcit dijadikan lokasi edar dadah bernilai lebih RM340,000 diserbu

11 Mac 2025, 5:04 AM
Kedai runcit dijadikan lokasi edar dadah bernilai lebih RM340,000 diserbu

JOHOR BAHRU, 11 MAC: Sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di sebuah kedai runcit diserbu polis dan tiga lelaki ditahan dalam operasi di kawasan Taman Universiti, di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata dalam serbuan 7 malam, 5 Mac itu, pelbagai jenis dadah bernilai RM346,225 dirampas dengan premis itu dipercayai digunakan sebagai lokasi untuk mengumpul dan mengedar dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif secara kecil-kecilan sejak Januari lalu dan seorang daripada suspek yang ditahan merupakan pemilik kedai runcit berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, di sini hari ini.

Balveer berkata keseluruhannya lebih 1 kilogram (kg) syabu, 1.84kg ekstasi dan 1kg ganja dirampas, selain lapan kenderaan serta wang tunai RM1,000 disita.

Sementara itu, beliau berkata ketiga-tiga suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 22 hingga 29 tahun itu negatif dadah manakala dua daripada mereka memiliki rekod kes jenayah dan dadah.

Menurut Balveer siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti cara bekalan dadah berkenaan diperolehi di samping kemungkinan penglibatan suspek lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan reman lima hari ketiga-tiga suspek yang tamat semalam disambung tujuh hari lagi bermula hari ini,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.