SHAH ALAM, 9 MAC: Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menayangkan enam filem bertemakan ketuhanan dan kerohanian sepanjang Ramadan.
Ditayangkan di pusat kajian bertempat di Alam Budiman, pengatur acara Dr Norman Yusoff berkata program Wayang Budiman itu turut menyiarkan filem mengenai kehidupan masyarakat Muslim yang berdepan pelbagai konflik dan cabaran.
“Tayangan sempena Ramadan ini ditetapkan pada jam 10.30 malam hari Jumaat dan Sabtu selama tiga minggu berturut-turut.
“Tayangan dibuat di pusat kajian yang terletak di Alam Budiman. Program ini terbuka kepada awam dan ditayangkan secara percuma,” katanya.
Filem bertajuk You Will Die At Twenty arahan Amjad Abu Alala pada 2019 yang ditayang kelmarin membuka tirai program berkenaan untuk Ramadan tahun ini.
Malam tadi, pusat berkenaan meneruskan tayangan filem dari India bertajuk Haseena (2004), kisah kehidupan seorang wanita yang didera suami selepas hamil anak perempuan buat kali keempat.
Mengulas lanjut. Norman berkata Wayang Budiman yang dianjur sejak 2015 yang menampilkan pelbagai genre merupakan usaha mencelikkan industri dan budaya filem.
“Setiap bulan kita tampilkan genre yang berbeza sebagai langkah menarik kehadiran ramai. Kita tidak sasarkan golongan pelajar sahaja,” katanya.
Antara filem yang sudah dimainkan tahun ini ialah The Shape Of Night (1994), Elite Squad (2004), Elite Squad : The Enemy Within (2010) dan Sinasamba Kita (1982).




