SHAH ALAM, 8 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang ditimpa musibah angin ribut di Sekinchan.
Menurut agensi itu,sumbangan disampaikan oleh Pengurus Operasi Kebajikan Yide Muhammad Zubair dan Eskekutif Kebajikan Yide Haizan pada 6 Mac lalu.
"Kejadian menyebabkan berlaku puting beliung yang menyebabkan beberapa rumah serta sebuah sekolah mengalami kerosakan pada bahagian atap dan barangan rumah.
"Insiden itu menggusarkan mangsa,dilaporakan tiada penduduk yang cedera akibat kejadian tersebut," katanya di Facebook.
Pada 6 Mac, Media Selangor melaporkan beberapa kediaman dan gerai sekitar Parit 4, Sekinchan mengalami kerosakan akibat kejadian puting beliung.
Menerusi potongan video yang tular di media sosial, bumbung kediaman penduduk diterbangkan setinggi lebih 50 meter, termasuk binaan kecil di tepi jalan.
Bencana ketika hujan lebat itu turut meranapkan deretan kedai, rumah inap desa dan bengkel jentera penanaman padi.
Insiden itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin.
Susulan itu, Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan kilat RM500 kepada setiap keluarga terjejas.








