ad
AGENDA

Empat individu ditahan larikan lelaki Sri Lanka

7 Mac 2025, 2:30 PM
Empat individu ditahan larikan lelaki Sri Lanka

ISKANDAR PUTERI, 7 MAC: Polis menahan empat individu di Kuala Selangor dan Bestari Jaya, Selangor pada 1 Mac lalu kerana dipercayai terlibat dalam kes melarikan seorang lelaki warga Sri Lanka di sebuah pusat cuci kereta di Gelang Patah, di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada majikan mangsa bahawa lelaki berusia 26 tahun itu dilarikan di premisnya kira-kira 9 pagi, pada 28 Februari.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 37 tahun itu kira-kira 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan kekasih seorang daripada wanita ditahan dan difahamkan telah meninggalkan teman wanitanya itu hingga menyebabkan mereka bertindak mengesan serta melarikan mangsa.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata pihaknya turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama dan dua kereta daripada mereka.

Beliau berkata dua lelaki berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini, manakala dua suspek wanita dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes telah ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 27 Mac depan dan kedua-dua suspek yang telah dituduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,000 dan RM3,500,” katanya.

Beliau berkata mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.