ad
AGENDA

Kertas siasatan penyampai Era FM diserah ke Jabatan Peguam Negara hari ini

6 Mac 2025, 9:45 AM
Kertas siasatan penyampai Era FM diserah ke Jabatan Peguam Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merujuk kertas siasatan berhubung kes video tular memaparkan tiga penyampai radio Era FM milik Astro didakwa mempersendakan upacara agama lain ke Jabatan Peguam Negara (AGC), hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata setakat ini, polis menerima 73 laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Buat masa ini tiada lagi individu lain dipanggil memberi keterangan,” katanya ringkas.

Semalam, enam individu daripada stesen radio itu hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan dengan siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Razarudin sebelum ini memaklumkan semakan polis mendapati rakaman video itu sudah ditonton 95,400 kali dan turut dikongsi 204 pengguna di media sosial, namun pemeriksaan dilakukan mendapati video tersebut telah dipadamkan pihak stesen radio berkenaan.

Setelah menerima kecaman, tiga penyampai radio itu tampil memohon maaf terhadap perbuatan mereka yang dilihat mempersendakan upacara agama Hindu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci, setelah menerima aduan pelbagai pihak berhubung tindakan penyampai radio berkenaan.

Astro Audio juga telah memaklumkan tiga penyampai radio terlibat direhatkan daripada ke udara sehingga diberitahu, sementara menunggu siasatan dalaman syarikat berhubung insiden itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.