ad
AGENDA

PDRM sedia kerjasama dengan SPRM kes tuntutan palsu libat pegawai polis

25 Apr 2025, 12:23 AM
PDRM sedia kerjasama dengan SPRM kes tuntutan palsu libat pegawai polis

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) yang turut melibatkan dua pegawai polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata dua pegawai berkenaan yang berpangkat Superintendan dan Inspektor ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Razarudin berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga telah menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i tahun lalu dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

"Apa-apa kesalahan membabitkan rasuah yang kita (PDRM) temukan dalam siasatan, kita akan bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam kes ini," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, SPRM dilaporkan mereman enam individu berumur lingkungan 30 dan 50-an termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.

Perintah reman hingga 30 April itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini semalam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.