Oleh Dewi Abdul Rahman
SABAK BERNAM, 6 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kilang Beras Rakyat Sekinchan bagi mengukuhkan sektor tani negeri.
Ketua pegawai eksekutif PKPS berkata kerjasama itu bukan sahaja akan membangunkan ekosistem pertanian Selangor, malah memastikan rakyat mendapat bekalan beras berkualiti.
"Keselamatan makanan salah satu keutamaan negara dalam sektor pertanian khususnya industri padi dan beras yang berperanan penting memastikan kestabilan bekalan makanan kepada rakyat.
"Kerjasama strategik ini juga akan memastikan rakyat mendapat bekalan beras berkualiti dengan harga berpatutan,” kata Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dalam majlis itu, semalam.
Disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari, Dr Mohamad Khairil berkata kerjasama itu juga bakal meningkatkan hasil pesawah sebanyak dua kali ganda iaitu sehingga 4.2 tan.
Tambahnya, PKPS menggunakan kaedah mekanisasi, iaitu alat jentera dan mesin menggantikan tenaga manusia atau haiwan di kawasan tanaman padi seluas 5,000 ekar di Sekinchan.
"Ketika ini, kaedah yang banyak digunakan adalah tenaga manual untuk menanam dan memerlukan tempoh antara tiga ke lima hari untuk siapkan tanaman satu ke dua ekar,” katanya lagi.