ad
AGENDA

Ahli dewan negara cadang gubal akta tangani aktiviti campur beras tempatan, import

5 Mac 2025, 2:30 PM
Ahli dewan negara cadang gubal akta tangani aktiviti campur beras tempatan, import

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan supaya akta khas digubal segera bagi menangani aktiviti mencampur beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT).

Senator Abdul Nasir Idris ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara berkata langkah itu perlu memandangkan aktiviti mencampur BPI dan BPT merupakan pengkhianatan kepada negara.

Beliau turut mencadangkan agar syarikat-syarikat yang terlibat dalam memanipulasi beras BPI dan BPT dikenakan tindakan tegas termasuk denda berat dan penarikan lesen operasi.

Senada dengan Abdul Nasir, Senator Ros Suryati Alang berkata kegiatan mencampur BPI dan BPT menunjukkan wujudnya kartel yang menjadi punca ketiadaan bekalan beras tempatan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pasukan petugas khas untuk menyelia semua kilang yang menguruskan padi dan beras.

Senator Datuk Lim Pay Hen pula berkata harga BPT yang lebih murah sepatutnya dapat memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan B40.

“Tindakan khusus lebih ketat perlu bagi menangani isu eksploitasi BPT dalam kalangan pengeluar beras di pasaran,” katanya yang turut meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai langkah strategik bagi mengekang isu eksploitasi beras berkenaan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.