AGENDA

Pesara rugi lebih RM105,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

5 Mac 2025, 2:03 PM
Pesara rugi lebih RM105,000 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

KUANTAN, 5 MAC: Pesara kerugian RM105,311.72 selepas terperdaya sindiket penipuan pinjaman tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp bulan lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 61 tahun itu tertarik untuk membuat pinjaman wang selepas melihat iklan di media sosial oleh sebuah syarikat peminjam wang dan berhubung dengan individu tidak dikenali di aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata suspek yang bertindak sebagai wakil syarikat itu meminta mangsa yang ingin membuat pinjaman sebanyak RM60,000, menyerahkan maklumat peribadi berupa gambar kad pengenalan dan penyata pencen.

“Mangsa kemudian dimaklumkan pinjamannya telah diluluskan. Bagaimanapun, antara 8 hingga 26 Februari lalu, wanita itu diminta membuat pembayaran kononnya untuk tujuan menaikkan penarafan kredit, caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST), insurans dan pelbagai bayaran lain.

“Wanita itu membuat 35 transaksi ke 19 akaun berbeza sebanyak RM105,311 namun untuk mendapatkan kembali wangnya, mangsa diminta membuat pembayaran lain dan diugut gambar kad pengenalannya akan ditularkan di Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa tidak pernah menerima sebarang wang pinjaman daripada wakil syarikat itu dan wang yang dibayar itu adalah simpanannya.

- BERNAMA