AGENDA

Pekerja selenggara ditahan susulan 700 peluru hidup ditemui dalam beg

5 Mac 2025, 10:41 AM
Pekerja selenggara ditahan susulan 700 peluru hidup ditemui dalam beg

GEORGE TOWN, 5 MAC: Pekerja penyelenggaraan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan beg mengandungi lebih 700 peluru di tempat pembuangan sampah sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata penahanan lelaki berusia 46 tahun itu di ibu pejabat polis daerah berkenaan pada 1 tengah hari tadi, membolehkan kes diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Suspek merupakan individu menemukan peluru itu dan ketika soal siasat, dia mengaku meletakkan beg itu di tempat kejadian sebelum menghubungi polis, bagi tujuan pelupusan.

“Menurut suspek, beg dan peluru itu ditemukan di sebuah rumah semasa menjalankan kerja pembersihan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Lee berkata siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesahkan keterangan lelaki itu dan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad mengesahkan penemuan lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 dalam beg di tempat pembuangan sampah pangsapuri tersebut.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang awam pada 1.40 tengah hari dan siasatan awal mendapati beg itu ditinggalkan individu tidak dikenali.

- BERNAMA