AGENDA

RUU Perkhidmatan Parlimen lulus dengan sokongan majoriti wakil rakyat

4 Mac 2025, 8:30 AM
RUU Perkhidmatan Parlimen lulus dengan sokongan majoriti wakil rakyat

SHAH ALAM, 4 MAC: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dengan sokongan majoroti dua per tiga ahli Parlimen, sebentar tadi.

Speaker Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi di mana 148 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU, 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir.

RUU yang bertujuan mereformasi dan menambahbaik institusi demokrasi itu dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.

Pada 20 Mac 2023, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat mencadangkan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992 dikembalikan sebagai panduan pengurusan.

Menurut beliau, sistem Parlimen perlu diperkemas bagi menaikkan semula nilai dan martabat mereka selain mengembalikan kuasa dan kedudukan Speaker.

Akta Perkhidmatan Parlimen yang diperkenal pada 1963 membolehkan Dewan Rakyat bertindak sebagai badan bebas, melaksana hal ehwal sendiri, memilih kakitangan serta mengawal perbelanjaannya.