ad
AGENDA

Raja Muda agih duit raya, bantuan makanan kepada anak yatim Melaka

2 Mac 2025, 9:04 AM
Raja Muda agih duit raya, bantuan makanan kepada anak yatim Melaka

SHAH ALAM, 2 MAC: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli ke Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSAS) di Pantai Puteri, Melaka, hari ini.

Keberangkatan Tengku Amir Shah bagi menyantuni dan mengagihkan duit raya berjumlah RM9,300 dan set kain pelikat kepada 31 anak yatim, lapor Berita Harian.

Pada majlis anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) itu, Baginda dilapor turut mengurniakan 100 kilogram beras untuk kegunaan penghuni rumah anak yatim berkenaan sepanjang Ramadan.

Keberangkatan tiba Tengku Amir ke rumah kebajikan yang dibangunkan nendanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, disambut Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor serta pengurusan RAYSAS.

Sementara itu, Mazlan berkata tahun ini Yide memperuntukkan RM1.9 juta untuk diagih kepada lebih 13,000 anak yatim yang berdaftar bawah yayasan berkenaan.

Katanya, sumbangan Ramadan dan persiapan Aidilfitri diagih secara berperingkat bermula esok membabitkan beberapa lokasi di Selangor dan Melaka.

"Program ini adalah wadah kebersamaan antara Yide dan penyumbang demi kelangsungan kebajikan dan manfaat kepada anak serta golongan memerlukan di Selangor dan Melaka," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.