SHAH ALAM, 2 MAC: Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr Anuar Tafsir@Masduki atau lebih dikenali Dr Anuar Masduki, 79, meninggal dunia 9.28 pagi tadi.
Anak bongsu Allahyarham, Norma Syaneda Anuar, 47, berkata arwah bapanya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini.
“Allahyarham sebenarnya ada kanser limfoma dan dimasukkan ke hospital kerana denggi kira-kira tiga minggu lalu.
“Selepas itu, beliau sudah dibenarkan keluar, namun dua hari kemudian ayah kelihatan lemah, jadi kami bawa semula ke hospital dengan segera dan didapati ada jangkitan dekat otak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Norma Syaneda berkata solat jenazah bapanya itu akan dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas zuhur dan dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.
Dr Anuar yang merupakan Pakar Kardiologi peribadi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meninggalkan isteri dan dua anak iaitu Dr Ainur Rahman Anuar, 48, serta Norma Syaneda.
Beliau berkelulusan doktor perubatan dari Universiti Malaya (UM) pada 1971 sebelum melanjutkan pengajian ke Royal College of Physicians di United Kingdom pada 1975.
Dr Anuar pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Perubatan di UM, pemangku Timbalan Naib Canselor (Kewangan dan Pembangunan) UM selain beberapa jawatan pentadbiran lain di hospital swasta.
Allahyarham merupakan Pro-Canselor Unisel sejak 1 Ogos 2009.
- BERNAMA


