SHAH ALAM, 28 FEB: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan anggota parti untuk memilih pimpinan yang mampu berkhidmat dengan baik dalam pemilihan akan datang untuk meneruskan agenda membela rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses demokrasi dalam parti harus diteruskan, meski terdapat pandangan untuk menangguhkan pemilihan bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya umum.
“Kita satu-satunya parti yang masih bertahan dan keras untuk teruskan agenda demokrasi. Memang kita bincang panjang, ada rasional dan tumpu pada pilihan raya umum. Tapi saya memilih untuk tetap menekankan proses demokarsi harus berjalan.
“Parti ini, parti reform, yang menuntut kebebasan. Sukar bagaimana pun kita lalui kita sedia. Saya percaya rakan-rakan sudah matang, kita lalui zaman yang getir, perpecahan, pengkhianatan paling jijik dan dikesalkan. Tapi kita bangkit semula sebagai satu kekuatan.
“Pilih pimpinan yang boleh berkhidmat dengan baik. Harus ingat kita pikul satu amanah yang besar sama ada di cabang atau peringkat pusat. Tidak mungkin kita pertahankan kebobrokan yang ada dalam sistem politik negara. Kempen atas kekuatan sendiri, idealisme dan semangat perjuangan parti,” katanya.
Beliau berucap menyempurnakan perasmian perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang di sini, malam ini. Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_689411" align="alignleft" width="500"]
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, AMK Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Anwar menegaskan pentingnya anggota parti faham kepentingan memilih pimpinan yang bukan sahaja berintegriti tetapi juga mampu mengangkat martabat rakyat.
“Ini battle for the heart and minds (perjuangan memenangi hati dan minda). Keyakinan boleh angkat martabat masyarakat dengan pimpinan negara sebagai satu pasukan bersih.
“Jawatan menteri, menteri besar, bukan sijil untuk memunggah kekayaan. Kita harus ingat ini. Kekuatan kita, politik yang stabil dan negara damai, berapa banyak negara hancur kerana perseteruan kaum dan agama. Kita harus selamatkan.
“Sebab itu saya kata KEADILAN di landasan betul untuk memuliakan insan. Kita tidak pernah menang dengan mencaci dan menghina orang. Kita membina kekuatan dengan keyakinan, kepintaran, kecerdasan dan akhlak. Ini yang memungkinkan kita tewas atau menang,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan akan dijalankan pada 24 Mei depan.
Menurut Fuziah pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang pula ditetapkan 11 hingga 20 April seperti
diputuskan MPP setelah meneliti beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkait proses pemilihan Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.
[caption id="attachment_689410" align="aligncenter" width="964"]
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Naib Presiden KEADILAN merangkap Pengerusi MPN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, AMK Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


