ad
AGENDA

Umat Islam di Indonesia mula puasa esok, Singapura, Thailand, Kemboja Ahad

28 Feb 2025, 3:20 PM
Umat Islam di Indonesia mula puasa esok, Singapura, Thailand, Kemboja Ahad

JAKARTA, 28 FEB: Umat Islam di Indonesia mula berpuasa esok manakala Singapura, Thailand dan Kemboja berpuasa pada Ahad ini.

Dalam satu sidang media, Menteri Agama Indonesia Nasaruddin Umar mengumumkan tarikh 1 Ramadan 1446 Hijrah adalah bersamaan Sabtu, 1 Mac 2025.

Pengumuman itu dibuat setelah selesainya persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Ramadan) pada Jumaat malam, yang melibatkan pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, serta wakil dari kedutaan besar di Indonesia. Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.

Indonesia adalah negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, dengan 87 peratus daripada 282 juta penduduk di republik itu beragama Islam.

Di Singapura, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata mengikut kiraan hisab, bulan berada pada kedudukan jarak lengkung 5.1 darjah dan ketinggian 4.3 darjah ketika matahari terbenam pada petang Jumaat, sekali gus gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

“Oleh itu, anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan esok adalah hari penggenap bulan Syaaban sebanyak 30 hari.

“Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun ini jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 2 Mac 2025,” katanya dalam klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), hari ini.

Sempena bulan Ramadan, beliau mengajak semua umat Islam untuk menggandakan segala amal kebajikan dalam bulan suci itu.

Sementara itu, Ketua Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom mengumumkan umat Islam di negara itu akan berpuasa pada Ahad selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam hari ini.

Arun membuat pengumuman itu di Pusat Pentadbiran Hal Ehwal Islam Kebangsaan Chalermprakiart di wilayah Samut Prakan yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan radio.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja mengumumkan pada petang ini bahawa umat Islam di kerajaan itu akan berpuasa Ahad.

Sekitar 300,000 umat Islam akan menyambut Ramadan di negara yang majoritinya beragama Buddha.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.