SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Selangor sedia mempertimbang untuk memberi kelonggaran kepada penjawat awam pulang lebih awal ketika Ramadan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan berkenaan akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.
“Kita akan bincang dalam MMKN jika ada keperluan, tapi setakat ini masa yang telah kita tetapkan itu mencukupi untuk mereka bekerja dan pulang.
“Kita juga ada pertimbangkan waktu fleksibel, kalau mereka pulang awal, perlu juga datang awal supaya produktiviti tidak terganggu dan ada peluang tunaikan tanggungjawab sediakan juadah dan sebagainya,” katanya pada sidang media.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Festival Ramadan Selangor (Festira25) edisi ke-11 di kompleks beli belah SACC di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.
[caption id="attachment_689191" align="alignnone" width="854"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Festival Ramadan Selangor (Festira) di Pusat Membeli-belah SACC, Shah Alam pada 27 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan membenarkan penjawat awam wanita negeri itu pulang seawal jam 2 petang pada setiap Jumaat, Ramadan ini.
Selain Negeri Sembilan, kerajaan Pahang turut menetapkan waktu bekerja bagi penjawat awam pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan berakhir lebih awal iaitu pada jam 12.30 tengah hari.