SHAH ALAM, 25 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyasarkan pendapatan untuk keseluruhan kumpulan sebanyak RM8 bilion menjelang 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop berkata pertumbuhan dipacu lima sektor utama iaitu air dan bekalan air; hartanah dan pembangunan; tenaga dan utiliti; perlombongan dan mineral serta pelaburan.
“Bagi air dan bekalan air, kita menyasarkan 45 peratus daripada jumlah sasaran pendapatan dengan meneruskan kerjasama strategik bersama Air Selangor, Heliosel dan Cubiq Aqua,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam 30 Tahun Jubli Mutiara di Setia Alam di sini, malam tadi. Acara disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dan barisan pentadbiran Kerajaan Selangor.
Saipolyazan berkata MBI memperkenal THRIVE28 iaitu pelan transformasi strategik dan menyeluruh bagi membentuk masa depan yang lebih mantap, mampan dan berdaya saing.
Menurut beliau, MBI juga mahu mengintai peluang perniagaan baharu khususnya menerusi projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
“Bagi menyambut hasrat Kerajaan Selangor dalam menjadikan negeri ini sebagai pemacu ekonomi digital, sektor semikonduktor akan menjadi cabang baharu di dalam perniagaan MBI,” katanya.
[caption id="attachment_688975" align="alignnone" width="698"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat simbol hati ketika merasmikan Majlis Makan Malam 30 Tahun Jubli Mutiara di Hotel courtyard by Marriot Setia Alam pada 25 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]




