OLEH DANIAL DZULKIFLY
SHAH ALAM, 25 FEB: Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) beralih kepada format tertutup mulai tahun ini dengan memfokuskan pada industri penerbangan am dan perniagaan, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.
Menurut beliau, pameran sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 itu juga menumpukan bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi.
“Format baharu bermakna SAS tahun ini tidak lagi menampilkan pameran pesawat statik. Sebaliknya, tumpuan akan diberikan kepada peserta perdagangan dan memacu pertumbuhan sektor aeroangkasa di negeri ini,” katanya ketika pelancaran akhbar SIBS 2025 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.
Sidang kemuncak itu juga akan membincangkan mengenai keperluan bakat industri dan inisiatif baharu, termasuk pembangunan bahan api penerbangan yang mampan.
Sebelum ini, SAS diadakan di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark dekat Subang dengan konsep terbuka yang membolehkan pengunjung meneroka pelbagai model pesawat daripada jet peribadi hingga kepada helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu.
Sze Han berkata selain persidangan, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pameran kerjaya dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor di SIBS 2025.
Tahun lalu, SAS 2024 merekodkan jumlah nilai transaksi RM3.2 bilion dan menarik hampir 30,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari.
Acara tahun ini akan berlangsung bersama-sama dengan SIBS 2025, diadakan dari 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.