AGENDA

Wanita ditemukan maut dalam bilik, dipercayai dibunuh

24 Feb 2025, 10:11 AM
Wanita ditemukan maut dalam bilik, dipercayai dibunuh

MELAKA, 24 FEB: Seorang wanita berumur 52 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Seri Pokok Mangga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis turut menahan seorang suspek lelaki berumur 54 tahun yang ditemukan cedera di dalam rumah berkenaan, dipercayai cuba membunuh diri.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 12.31 tengah hari semalam.

Christopher berkata seorang saksi memberitahu beliau mendengar pergaduhan dari bilik berkenaan pada pagi Jumaat, namun pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun semalam saksi bertindak mengetuk dan membuka pintu bilik itu, dan melihat wanita berkenaan dalam keadaan berlumuran darah di atas katil. Polis kemudiannya menahan lelaki berusia berusia 54 tahun yang turut berada dalam keadaan cedera dalam bilik itu, dipercayai cuba bunuh diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya insiden berkenaan berpunca daripada rasa cemburu suspek, yang merupakan kenalan wanita itu.

Christopher berkata polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat ASP V.Somsundram di talian 06-2842222 bagi membantu siasatan.

- BERNAMA