BUKIT KAYU HITAM, 24 FEB: Seramai 15 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar dibawa pulang dan tiba di tanah air hari ini.
Kesemua mangsa selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan selanjutnya.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand telah memudahcara penghantaran pulang semua mangsa.
Menurutnya, selepas diserahkan pihak berkuasa Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok segera memberikan bantuan konsular yang menyeluruh.
“Bantuan itu merangkumi lawatan konsular, menghubungi waris dan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara.
“Kedutaan juga mengatur pengangkutan serta menyediakan barangan keperluan asas termasuk makanan dan pelitup muka, di samping mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka selama 25 jam dari Wilayah Tak, Thailand ke Bukit Kayu Hitam,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan proses penghantaran pulang turut didukung oleh kerjasama erat Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
KLN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas bantuan mereka dalam menerima warganegara Malaysia dari Myanmar serta mempercepatkan proses penghantaran pulang mereka.
“Kementerian Luar kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara dan melalui perwakilan diplomatiknya sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular apabila diperlukan,” menurut kementerian itu.
- BERNAMA


