ad
AGENDA

Anwar: Jemaah menteri terbuka terima teguran, iltizam tingkat prestasi

22 Feb 2025, 12:30 PM
Anwar: Jemaah menteri terbuka terima teguran, iltizam tingkat prestasi

BANGI, 22 FEB: Jemaah Menteri menerima baik sebarang teguran serta kritikan berhubung prestasi mereka dan akan mengambil langkah memperbaikinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025, Ahli Kabinet telah mendengar laporan serta pandangan bebas mengenai prestasi mereka yang dibentangkan ahli akademik dan penjawat awam.

"Kemudian kita beri ruang kepada menteri untuk berikan pandangan mereka tentang iltizam dan komitmen untuk meningkatkan prestasi.

"Setakat ini saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata permukiman itu membincangkan mengenai keperluan bagi kerajaan untuk melihat semula pendekatan diambil bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat.

Anwar berkata walaupun terdapat statistik yang menunjukkan prestasi membanggakan namun masih ada beberapa masalah yang harus kerajaan selesaikan seperti kenaikan harga barang.

"Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita rendah, rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barang perlu (barangan asas).

"Ini satu cabaran yang kita beri penekanan kerana kita faham bahawa angka-angka tentang lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan dan keamanan serta tarikan pelancongan itu hanya lebih bermakna sekiranya kita dapat kawal kenaikan harga yang membebankan sebahagian rakyat kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.