SHAH ALAM, 21 FEB: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan merogol kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor yang mengesahkan perkara itu memberitahu suspek berusia 19 tahun disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk dipohon reman bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diseru untuk tampil membantu polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6065 1021 atau mana-mana balai polis berhampiran," kata Superintenden Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataan.
Pagi tadi, tular di media sosial satu insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali sekitar waktu solat Subuh.
Sebelum ini, EXCO Hal Ehwal Agama Islam meminta polis melakukan siasatan dan tindakan segera terhadap suspek.
Dr Mohammad Fahmi menyifatkan tindakan biadab itu tidak sewajarnya berlaku terutama di masjid yang merupakan tempat beribadat umat Islam.


