GEORGE TOWN, 21 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang menyita produk gula-gula Gummy Original Basketball Soft Candy’s di sebuah premis di Jalan Sungai Dua, Butterworth dekat sini, Rabu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata sitaan itu dibuat hasil pemeriksaan penguat kuasa JKN Pulau Pinang ke gerai-gerai di kawasan sekitar sekolah murid tahun empat yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula jenis gummy itu.
"Hasil siasatan awal mendapati gula-gula terbabit dipercayai diperoleh dari gerai berhampiran sekolah dan menerusi pemeriksaan ke gerai-gerai di kawasan sekitar, pasukan penyiasat menjumpai produk gula-gula itu di sebuah premis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata JKN Pulau Pinang kini sedang melakukan siasatan lanjut berkaitan keselamatan produk makanan itu dan tindakan selanjutnya akan diselaraskan pada peringkat ibu pejabat Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan.
"Pihak JKN Pulau Pinang akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," katanya.
Gooi turut menyarankan kepada orang ramai terutama ibu bapa agar memantau dan menasihati anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik.
"Sehubungan dengan itu, sebarang pengambilan apa-apa makanan untuk kanak-kanak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga," katanya.
Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy Selasa lepas, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang, kira-kira 11 malam tadi.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
- BERNAMA


