SHAH ALAM, 21 FEB: Seramai 185 kanak-kanak Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang ditempatkan di rumah perlindungan di Selangor diserahkan kepada keluarga masing-masing dengan bon dan syarat.
EXCO kebajikan masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku pelindung berhak mengambil semula kanak-kanak berkenaan sekiranya ada perlanggaran arahan daripada mahkamah itu.
Menurut Anfaal Saari, jenis bon yang dikenakan adalah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu bon tanpa cagaran.
“Terdapat juga syarat tambahan di bawah Subseksyen 30(8) seperti ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pelindung sekiranya ingin bertukar alamat atau tempat tinggal selain memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan atau persekolahan formal yang sewajarnya.
“Ibu bapa atau penjaga juga hendaklah memastikan sebarang perbuatan berunsur penganiayaan, penderaan dan pengabaian tidak akan berlaku ke atas kanak-kanak serta tidak boleh memindahkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak kepada orang lain atau meletakkan mereka di suatu pusat tanpa pengetahuan pelindung dan kebenaran mahkamah,” katanya.
[caption id="attachment_688081" align="alignnone" width="816"] EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke 15 pada 21 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Anfaal menjawab soalan Ahli Dewan Negeri ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei mengenai bilangan kanak-kanak yang dilepaskan dengan bon kepada penjaga dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNA) hari ini.
Menurutnya, syarat lain termasuk ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan kanak-kanak terbabit mendapat pendidikan atau persekolahan formal sewajarnya.
“Pelindung bila-bila masa berhak untuk hadir dan melawat kanak-kanak di alamat tempat tinggal selain memastikan segala keperluan dan kebajikan kanak-kanak terjaga dan terjamin.
“Ibu bapa atau penjaga juga perlu hadir bersama kanak-kanak ke Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran tiga bulan sekali bagi tujuan pengawasan dan penyeliaan bagi kanak-kanak sepanjang perintah ini berkuat kuasa,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Yi Wei mengenai pemantauan rentas negeri atau ke luar negara, Anfaal memaklumkan JKM berhak mengambil semula kanak-kanak berkenaan sekiranya ada perlanggaran bon oleh ibu bapa atau penjaga.
“Seperti dimaklumkan dalam syarat tambahan di bawah Subseksyen 30(8) iaitu ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pelindung dan pelindung akan memantau.
“Sekiranya melanggar syarat dikenakan bon tanpa cagaran, tindakan ambil semula kanak-kanak tersebut (boleh diambil) kerana dikuatiri akan berlaku semula penganiayaan dan sebagainya. Ini akan diambil tindakan oleh JKM,” katanya.
Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam Op Global itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.