SHAH ALAM, 20 FEB : Kerajaan Negeri tidak bercadang mewujudkan 'one stop center' atau pusat transit gelandangan di Selangor.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata ia berikutan bilangan gelandangan di negeri ini merekodkan jumlah yang amat rendah.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menjalankan 199 operasi penguatkuasaan mengesan gelandangan di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.
"Dalam operasi itu, sebanyak 155 gelandangan dikesan membabitkan 102 orang warganegara dan 53 bukan warganegara.
"Disebabkan jumlah yang rendah ini, Kerajaan Negeri tidak merancang untuk mewujudkan 'one stop center' atau pusat transit gelandangan di Selangor," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Kajang Cheong Kian Young berhubung isu gelandangan di Selangor.
Jelas Anfaal menerusi operasi itu, gelandangan warganegara akan diserah semula kepada waris atau penjaga dan bantuan kewangan secara bulanan turut diberi sekiranya memenuhi kelayakan.
"Bagi kes gelandangan yang tiada waris atau penjaga, mereka akan ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO).
"Manakala, JKM akan membuat rujukan kepada Jabatan Imigresen bagi kes gelandangan bukan warganegara untuk tindakan selanjutnya," katanya.