AGENDA

Isu penipuan kerja, pemerdagangan manusia antara tumpuan sidang Asean

17 Feb 2025, 6:43 AM
Isu penipuan kerja, pemerdagangan manusia antara tumpuan sidang Asean

SHAH ALAM, 17 FEB: Isu penipuan pekerjaan rentas sempadan akan menjadi antara fokus utama dalam platform Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bagi memastikan tindakan bersepadu di peringkat serantau.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata ia selaras komitmen negara anggota untuk membanteras sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara.

“Sebahagian daripada fokus utama kita pada tahun ini, malah dalam retreat Menteri-Menteri Luar Asean yang berlangsung di Langkawi baru-baru ini telah pun diangkat isu ini.

“Kita akan jadikan ia sebagai satu fokus yang akan dibincangkan. Kita tahu sebelum ini juga telah pun dibangkitkan di Labuan Bajo, Indonesia dan Vientiane, Laos. Kita tahu baru-baru ini berlaku insiden di mana Myanmar telah pun membebaskan hampir 320 warga asing yang terlibat dengan ‘job scam’ di Myanmar.

“Kerjasama ini kita akan tingkatkan dan memang wujud kerjasama apabila mereka membebaskan ini. Kesemua mangsa ini diserahkan di Thailand melalui National Referral Mechanism untuk disemak identiti dan sebagainya termasuk warganegara kita sendiri,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin Dato’ Mohd Isam Mohd Isa mengenai sama ada isu penipuan pekerjaan rentas sempadan bakal menjadi tumpuan Malaysia selaku Pengerusi Asean tahun ini di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya selepas proses itu selesai, semua mangsa akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Isu job scam tidak akan sunyi sepanjang kepengerusian (Malaysia) Asean, akan dibincangkan dan kita akan cari jalan terbaik bagi penyelesaian lebih tuntas kali ini.

“Kerjasama antara negara anggota Asean juga akan kita tingkatkan menerusi Asean Chief National Police,” katanya.