SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sepakat untuk terus menyemarak pengembangan industri petroleum dan gas negara melalui Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Petronas dan Petros akan bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan Sarawak.
Menurutnya, menekuni semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui beberapa perkara termasuk mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 sebagai Akta Persekutuan seperti yang tertera dalam peruntukan undang-undang.
“Kesepakatan kedua-dua pihak turut menyambut aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri itu melalui Distribution of Gas Ordinance 2016 (DGO) yang akan berkuatkuasa pada 1 Mac 2025. DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974, maka, Petros berperanan sebagai agregator di Sarawak.
“Peranan tersebut tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikat. Ini bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan antarabangsa sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan Perdana Menteri mengenai aktiviti petroleum di Sarawak (Petronas-Petros) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Petros di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
“Petros juga berwewenang (mempunyai hak) meluaskan kegiatan yang baru dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas.
“Segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus. Demikian kesepakatan yang telah tercapai,” katanya.
Menurut Anwar, Petronas memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai antara gergasi di dalam industri petroleum dunia malah muncul sebagai antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.
“Kini dengan kemunculan Petros ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan.
“Maka, adalah satu kewajaran dimeterai permuafakatan agar tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak dan memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan Petros selanjutnya,” katanya.
Anwar menambah Petronas telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri dengan manfaat pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur berjumlah melebihi RM280 bilion sejak 1976.
Katanya daripada jumlah pelaburan huluan itu, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas sejak 2014 hingga 2024 selain syarikat vendor berdaftar dari Sarawak mendapat kontrak melebihi RM40 biliion dalam tempoh sama.
Berkait pulangan kewangan, katanya Sarawak telah menerima bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024, bayaran cukai jualan berjumlah RM18.66 bilion (sehingga suku ketiga 2024) dan dividen sebanyak RM28.6 bilion (sehingga Disember 2024) diperolehi melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG.
“Petronas juga telah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak. Sepanjang 10 tahun lalu, lebih RM600 juta dibelanjakan untuk pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Lebih 680,000 warga Sarawak mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa serta program latihan untuk warga pendidik dan lebih 4,300 warga Sarawak mendapat peluang pekerjaan dalam Petronas,” katanya.
Menurut Anwar, hasil besar yang diraih negara selama ini sehingga dapat menjadikan dana Petronas sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Ini semua berkat Sarawak Bumi Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petros untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita bersyukur kerana muafakat ini terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan negara dan Sarawak,” katanya.