AGENDA

Menteri Pendidikan, MB tinjau hari pertama sekolah baharu di Semenyih

17 Feb 2025, 2:55 AM
Menteri Pendidikan, MB tinjau hari pertama sekolah baharu di Semenyih
Menteri Pendidikan, MB tinjau hari pertama sekolah baharu di Semenyih

HULU LANGAT, 17 FEB: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih di sini, bagi meninjau sesi persekolahan bermula hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi ; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr Jafri Abu; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Nor Mohd Azam Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz.

Fadhlina meluangkan masa kira-kira 45 minit bertemu dan beramah mesra dengan murid tahun satu sekolah berkenaan.

Sejurus selepas melakukan tinjauan di bilik darjah, Fadhlina kemudian menyerah sumbangan wang tunai RM3,000 oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn kepada Guru Besar Nur Hanani Md Nafi untuk membantu pelajar berpendapatan rendah.

Sementara itu, Fadhlina memaklumkan 1,005 murid dari peringkat pra-sekolah hingga darjah enam mendaftar di sekolah yang memulakan operasi hari ini setelah siap dibina sejak 2018.

“Sekolah ini ditunggu oleh masyarakat untuk pembukaan dan kemasukan murid.

“Saya rakamkan ucapan tahniah kepada pihak sekolah atas usaha yang bukan mudah namun berjaya menyiapkan ekosistem sekolah pada hari pertama ini,” katanya dalam sidang media.

Pelbagai ragam dapat disaksikan terutama dalam kalangan murid tahun satu. Ada antara mereka gembira bertemu rakan baharu malah ada juga tidak mahu berpisah dengan ibu bapa apabila menggenggam erat tangan mereka.

[caption id="attachment_687401" align="aligncenter" width="1126"] Ibu bapa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih yang baharu beroperasi pada 17 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]