ad
AGENDA

Wanita 20 tahun buang bayi baru lahir di perhentian bas

16 Feb 2025, 12:20 PM
Wanita 20 tahun buang bayi baru lahir di perhentian bas

GEORGE TOWN, 16 FEB: Polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun susulan penemuan seorang bayi lelaki di perhentian bas Jalan Perak, Pulau Tikus di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata bayi berkenaan yang diletakkan di dalam beg kertas ditemukan orang awam, yang kemudiannya membuat laporan di balai polis pada 10.14 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan oleh suspek di tempat kejadian pada 8.03 pagi.

“Hasil tindakan pantas, pihak polis telah menahan suspek warga tempatan disyaki ibu kepada bayi tersebut pada 2.20 petang di sebuah hospital swasta di George Town dan dengan tertangkapnya suspek, maka kes ini telah berjaya diselesaikan.

“Polis ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan memberi kerjasama serta bantuan kepada pihak polis dalam siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rozak berkata suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.