AGENDA

Lima sekeluarga rentung: Suami masih terdengar jeritan isteri, anak-anak meminta tolong

13 Feb 2025, 10:03 AM
Lima sekeluarga rentung: Suami masih terdengar jeritan isteri, anak-anak meminta tolong

JASIN, 13 FEB: Masih terngiang-ngiang di telinga Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, jeritan meminta tolong isteri dan empat anaknya yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi tadi.

“Saya masih terdengar-dengar suara isteri panggil nama anak-anak…saya minta maaf mak,” katanya kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin di sini hari ini.

Lelaki itu terselamat namun isterinya, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, terkorban dalam tragedi itu.

Muhammad Khairuddin sebelum itu menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di hospital berkenaan yang turut menyalurkan bantuan awal RM2,000.

Sementara itu, Ruziha yang menetap di Puchong, Selangor berkata Laila Fathinah sedang hamil anak ketujuh dan kandungan sudah berusia lima bulan.

Ruziha berkata dia menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu pulang ke rumah di Kampung Berangan Enam itu 11.30 malam tadi selepas arwah mengunjungi rumahnya Selasa lalu.

“Arwah ke rumah saya dengan seorang anak perempuan ketiga berusia lapan tahun berikutan kanak-kanak itu perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas mereka sekeluarga terbabit kemalangan Januari lalu di Brisu, Alor Gajah.

“Kemalangan itu menyebabkan menantu (Muhammad Khairuddin) patah kaki dan bahu manakala arwah dan lima anaknya yang lain cedera,” katanya.

Ruziha berkata selepas menghantar Laila Fathinah ke rumah, dia pulang ke Puchong bersama cucu berusia lapan tahun itu sebelum dikejutkan dengan tragedi menimpa keluarga tersebut pagi tadi.

Katanya dia tidak menyangka menerima perkhabaran itu kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah ceria seperti biasa.

“Arwah juga meninggalkan anak perempuan berusia 18 tahun yang tinggal bersama saya di Puchong,” katanya.

- BERNAMA