AGENDA

Selangor catat penurunan kes kemalangan, kematian dalam Op Selamat 23

12 Feb 2025, 3:54 PM
Selangor catat penurunan kes kemalangan, kematian dalam Op Selamat 23

SHAH ALAM, 12 FEB: Kadar kemalangan sepanjang Op Selamat 23 di Selangor sempena Tahun Baharu Cina mencatatkan penurunan 144 kes atau 6.8 peratus berbanding Op Selamat 21.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata 1,980 kes kemalangan direkodkan pada Op Selamat 23 di negeri ini berbanding 2,124 kes dalam operasi sama tahun lalu.

Beliau berkata dalam tempoh enam hari Op Selamat bermula 28 Januari hingga 2 Februari, jumlah kemalangan maut turut mencatatkan penurunan sebanyak lima kes atau 26.3 peratus iaitu 14 kes berbanding 19 kes tahun lalu.

"Kes kematian juga menunjukkan penurunan lapan kes dalam Op Selamat kali ini berbanding 22 kes Op Selamat 21 pada 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hussein berkata dalam Op Selamat kali ini, 23,962 saman dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata Kontinjen Selangor juga menjuarai kategori penguatkuasaan trafik saman terbaik yang diumumkan pada Majlis Apresiasi Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina 2025 di Persada Plus (Plus Malaysia Berhad) pada 4 Februari.

- BERNAMA