ad
AGENDA

Banjir Sabah, Sarawak makin pulih, 897 mangsa di sembilan PPS

12 Feb 2025, 10:42 AM
Banjir Sabah, Sarawak makin pulih, 897 mangsa di sembilan PPS

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Situasi banjir di Sarawak dan Sabah makin pulih dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu setakat petang ini hanya 897 orang berbanding 1,086 orang pagi tadi.

Di Sarawak, hanya lima PPS masih beroperasi setakat petang ini yang menempatkan 421 mangsa berbanding 609 mangsa pagi tadi, dengan dua PPS ditutup.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan PPS di Stadium Muhibbah Bintulu dan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditutup masing-masing pada 3 petang dan 1 tengah hari tadi.

Daripada lima PPS yang beroperasi, masing-masing dua di Mukah yang menempatkan 208 mangsa dan di Miri dengan 210 mangsa manakala satu di Sibu dengan tiga mangsa.

Di Sabah, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 476 orang daripada 144 keluarga 4 petang ini berbanding 477 orang daripada 145 keluarga pagi tadi.

Seramai 302 orang daripada 99 keluarga ditempatkan di dua PPS yang beroperasi di Beaufort dan 174 orang (45 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan.

Menurut kenyataan itu keadaan banjir semakin pulih manakala pemindahan mangsa banjir di Kinabatangan menurun dan di Beaufort kekal.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.