ad
AGENDA

Konsep faham, hormat, terima pastikan Malaysia kekal contoh negara harmoni

12 Feb 2025, 7:40 AM
Konsep faham, hormat, terima pastikan Malaysia kekal contoh negara harmoni

SHAH ALAM, 12 FEB: Konsep ‘faham, hormat, terima’ perlu diterapkan dalam masyarakat untuk memastikan Malaysia kekal sebagai contoh negara harmoni dalam kepelbagaian agama dan budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata nilai itu perlu diterap supaya Malaysia terus menjadi contoh kepada dunia, bagaimana kepelbagaian agama dan budaya boleh digabungkan untuk mencipta negara yang benar-benar harmoni.

“Malaysia adalah sebuah negara kaya dengan kepelbagaian. Kita mempunyai masyarakat yang menganut pelbagai agama dan kepercayaan.

“Keunikan ini, sekiranya dijaga dengan betul, boleh menjadi kekuatan yang membentuk identiti negara kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, konsep negara bangsa dan tema harmoni dalam kepelbagaian menjadi fokus utama Kementerian Perpaduan Negara tahun ini.

Katanya, hala tuju tahun itu direncana melalui pelaksanaan empat ikhtiar utama iaitu ekosistem perpaduan, inisiatif harmoni Madani, eksplorasi Rukun Negara dan komuniti sosiobudaya.

“Inisiatif harmoni Madani diperkenal bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sekali gus memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian.

“Antara program dilaksanakan termasuk sambutan Keharmonian Sedunia, sambutan Hari Toleransi Sedunia, dialog harmoni dan perarakan harmoni serta dokumentari harmoni.

“Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan peringkat kementerian dan projek sosial kolaboratif: mediasi komuniti untuk komuniti,” katanya.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali mengenai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan bagi pelaksanaan aktiviti melibatkan unsur keagamaan dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, jelasnya, Kementerian Perpaduan Negara tidak mempunyai sebarang garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan mengenai aktiviti yang melibatkan unsur keagamaan.

“Namun kementerian mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia sekali gus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.