AGENDA

Pusat khidmat, MySel bantu sembilan individu terima sijil kewargenegaraan

11 Feb 2025, 6:39 AM
Pusat khidmat, MySel bantu sembilan individu terima sijil kewargenegaraan

SHAH ALAM, 11 FEB: Sembilan individu di Parlimen Selayang menerima sijil kewarganegaraan masing-masing dalam satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sijil kewarganegaraan itu dipohon melalui Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen.

“Diharapkan sambutan Tahun Baharu Cina ini memberikan lebih makna kepada sembilan individu tersebut dan semua warga Tionghoa Sungai Tua dan Selayang.

“Semoga tahun ular kayu ini membawa limpahan rezeki dan keharmonian kepada kita semua di Selangor,” maklumnya menerusi Facebook semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Sambutan Tahun Baharu bersama warga Selayang dan Sungai Tua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Pada masa sama, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit taskforce MySel pada 2018 bagi membantu menangani permasalahan dihadapi rakyat di negeri ini khususnya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Setakat ini, taskforce ini banyak membantu golongan kurang berkemampuan yang tidak mempunyai pengetahuan dan saluran betul membuat permohonan mendapatkan dokumen pengenalan diri, kewarganegaraan, sijil kelahiran dan kad pengenalan,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.