ad
BERITA UTAMA

Selangor amal sikap saling kenal antara budaya, tetap jaga keutuhan akidah

9 Feb 2025, 4:58 AM
Selangor amal sikap saling kenal antara budaya, tetap jaga keutuhan akidah
Selangor amal sikap saling kenal antara budaya, tetap jaga keutuhan akidah

SHAH ALAM, 9 FEB: Sikap saling mengenali antara budaya dan agama yang majmuk serta berinteraksi secara harmoni sesama kaum atau "Li Ta'arafu" sudah lama diamalkan umat Islam di Selangor.

EXCO Agama Islam Fahmi Ngah menegaskan umat Islam negeri ini juga sentiasa menjaga keutuhan akidah dan perbatasan syariat dalam kehidupan seharian dengan masyarakat bukan Islam.

"Umat Islam di Selangor secara umumnya berpendidikan dan mempunyai kesedaran agama yang tinggi. Saya percaya mereka matang berfikir dan bijak menilai hal berkaitan agama Islam," katanya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan umat Islam acara agama lain.

Dalam pada itu, Dr Fahmi menggalakkan umat Islam negeri ini untuk merujuk beberapa sumber rasmi bagi mendapatkan jawapan atau persoalan berkaitan agama.

[caption id="attachment_631243" align="aligncenter" width="749"] Ahli Dewan Negeri Seri Setia Dr Fahmi Ngah memberi angpau kepada kanak-kanak dan warga emas pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Seri Setia di Kelana Mall, Kelana Jaya pada 2 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Jelasnya, sumber rujukan itu termasuk Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kehakiman Selangor dan Jabatan Mufti Selangor.

“Semoga syiar Islam terus didaulatkan di Selangor agar kemajmukan dan perpaduan kaum di negeri ini terus kekal utuh dan dicontohi oleh semua,” katanya lagi.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan menegaskan tidak bersetuju cadangan mewujudkan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan agama lain.

Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.

Kelmarin, jemaah menteri memutuskan tiada keperluan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memuktamadkan garis panduan berhubung pembabitan umat Islam sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.